Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping
atau kembar kepada setiap insan yang dilahirkan (manusia). Dia dikatakan
sebagai “syaitan” kepada manusia itu. Setiap manusia yang dilahirkan ke
dunia ini pasti ada qarin nya sendiri. Rasulullah s.a.w. tidak
terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang
lain-lainnya adalah kafir. Pada umumnya qarin kafir ini mendorong
“dampingan”nya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan
ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja
sekuat tenaga untuk menghalang manusia dampingannya melakukan ibadah dan
kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat (Maha Adil
Allah). Malaikat ini akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak
membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat
pilihan.
Walau bagaimanapun orang2 Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya ialah dengan membaca “Bismillahir Rahmanir Rahim” (basmalah)
sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran,
melakukan kebaikan dan taat melaksanakan perintah Allah. Secara tidak
langsung manusia itu akan meninggalkan nafsu syahwat dan sifat-sifat
tercela. Membersihkan dirinya bersesuaian dengan martabat malaikat
tersebut.
Pernah satu ketika dulu para ‘ustaz” pendakwah menceritakan bahawa
apabila kita makan berserta Bismillah…. syaitan akan kelaparan dan kurus
tetapi jika sebaliknya ia semakin gemuk. Pada awalnya memang
mengelirukan dan sukar difahami bagaimana syaitan itu boleh kurus kerana
bukan kita seorang sahaja manusia di muka bumi ini. Bukan semuanya baca
basmalah bila hendak makan dan minum. Setelah dibangkitkan soal qarin
ini baharulah kita faham kedudukan sebenarnya. Syaitan yang dimaksudkan
ialah jin qarin ini (sifatnya berlawanan dengan sifat malaikat – sebab
itu disebut syaitan) dan ia khusus untuk setiap individu.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas’ud r.a. maksudnya:
“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada
bangsa malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah.” Sabdanya:
“Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu
dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.”
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Kewujudan qarin ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal
yang buruk dan hal-hal yang jahat-jahat seolah-olah baik pada anggapan
manusia, lalu akhirnya manusia terpengaruh atau terpesong.
Dalam surah al-An’am: 112 terdapat firman Allah: “Dan demikianlah
kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin,
sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang
indah-indah untuk menipu”.
Ath-Thabarani mengisahkan riwayat dari Syuraik bin Thariq. Ia
berkata, Rasululloh Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda, yang
artinya: “Tidak ada seseorang di antara kalian melainkan ada baginya
seorang syaitan.” Mereka bertanya, “Juga bagimu, ya Rasulullah?” “Ya,
juga bagiku, tetapi Allah melindungiku sehingga aku selamat .”(HR. Ibnu
Hibban)
Jin ini, menurut para alim ulama’, bukanlah dari kalangan jin yang
biasa. Jin ini tugasnya hanya untuk menyesatkan ‘tuan’nya, yang
didampingi dari awal kelahiran hingga kematian manusia tersebut. Ada
juga qaul yang menyatakan bahawa jin ini dilahirkan bersama-sama kita,
akan tetapi ianya tidak mati apabila kita meninggal dunia kerana hayat
mereka dipanjangkan Allah, dan mereka hanya dimatikan menjelang hari
Qiamat.
Ketika manusia mati sama ada dalam keadaan beriman kepada Allah atau
mati dalam keadaan murtad, syirik atau kufur hasil daripada tipu helah
iblis dan syaitan yang sentiasa berada di samping manusia, menemani
manusia ke mana dia pergi, ataupun mati dalam Islam tetapi bergelumang
dalam maksiat.
Qarin akan berpisah dengan “kembar”nya apabila manusia meninggal
dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin
terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun,
apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke
hadapan Allah untuk diadili.
Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar